Peluang Kedua

Lama menyepi dalam blog ni. Terlalu banyak perkara yang ingin di kongsi tapi kebanyakannya juga seperti tak memberi manfaat pada orang lain, jadi lebih elok kalau disimpan sendiri saja. 

Hospital Taiping
Cerita terbaru kali ni adalah tentang emak yang baru sedar dari koma. 

2 Oktober 2018, 
Mak di bawa ke hospital Kuala Kangsar kerana demam berjangkit dari Abah. Keduanya mendapat rawatan yang sama sehinggalah keadaan Mak jadi lebih teruk dan Abah nampak semakin pulih pada hari-hari berikutnya. 2 hari di hospital Kuala Kangsar, doctor menyarankan supaya Mak di bawa ke Hospital Taiping kerana keadaannya yang semakin kritikal dan di sana lebih ramai pakar yang dapat merawat penyakit Mak  Demam dikatakan berpunca dari jangkitan kuman pada paru-paru. 

4 Oktober 2018, 
Aku drive sorang diri balik ke Perak untuk melihat keadaan Mak. Terus ke Hospital Taiping Wad D5 Katil 16. Disini lah tempat yang aku takkan pernah lupa. Tempat di mana aku hampir 'hilang' seorang Mak.

6 Oktober 2018, 
Dah hampir 3 hari mak tak boleh makan dan minum. Tenaga semakin hilang, pernafasan semakin pendek. Sakit di dada semakin mendalam dek kerana kuman yang merayap menyerang paru-paru. Aku tak dapat berbuat apa-apa melainkan minta mak beristighfar dan sabar dengan ujian Allah. Sehinggalah pada saat Mak hampir kehilangan nyawa kerana tak dapat bertahan lagi, Aku berlari mencari doktor dan dengan izin Allah, Mak masih diberi peluang ke-2 dengan bernafas menggunakan bantuan mesin. 

Mak ditidurkan selama 3 hari dan jika mak tak bangun selepas 3 hari, keadaan Mak akan dipanggil sebagai koma. Peluang hanya 50% untuk hidup. Sama ada Mak kuat untuk bertahan atau 'give up' dengan penyakitnya. 

Antibiotik yang sesuai masih belum dijumpai untuk kuman yang menyerang. Pelbagai antibiotik di suntik ke dalam badan mengharapkan ada perubahan tetapi hampa. Aku berdoa siang dan malam mengharapkan Mak terus kuat. Membaca Yassin dan Solat Hajat setiap malam mengharapkan Tuhan untuk ampunkan dosa-dosa mak dan berikan Mak peluang untuk terus hidup. Perasaan sedih tak dapat aku nak gambarkan. Mungkin bagi yang pernah mengalami, akan faham macam mana rasanya berada pada saat-saat begitu. 

Sudah seminggu mak masih belum sedar dari koma. Setiap hari aku datang melawat mak di ICU. Melihat mak terbaring tidur lena, buat aku lebih tenang sedikit dari melihat mak 'struggle' untuk bernafas dalam sedarnya. 

Minggu kedua, Mak masih juga lena dan keajaiban mula terjadi pada hari ke-14. Mak mula buka mata dan sedar tetapi masih lemah. Antibiotik yang sesuai sudah di jumpai dan mengharapkan supaya mak terus bertahan untuk sembuh. Meniti hari-hari berikutnya, kami sekeluarga mula bergilir masuk ke bilik ICU untuk berbual dengan Mak. Walaupun Mak tak dapat nak membalas perbualan kami, tapi cukup lah sekadar mak sedar. Itu pun dah cukup membahagiakan hati aku. 

Hari berganti hari, mak semakin pulih. Dan dalam keadaanya yang lemah, MUNGKIN 'hijab'nya terbuka selepas bangun dari koma dan dapat melihat makhluk Tuhan yang lain. 

Satu lagi dugaan yang perlu kami sekeluarga hadapi ialah bila Mak sentiasa dalam ketakutan dan seperti di'ganggu' dalam ward di mana mak ditempatkan. Pelbagai usaha dah kami buat dan mak masih juga begitu. Sehinggalah kami minta supaya Mak ditukarkan ke ward lain. 

Hari ke-30,
Mak semakin pulih tetapi masih perlu penjagaan rapi kerana mak masih tak mampu berjalan sendiri. Keadaan buah pinggang juga semakin teruk dan mungkin perlu dialysis dari masa ke semasa. Setakat ini, kami adik beradik bergilir menjaga mak di hospital tiap siang dan malam untuk memastikan mak selesa dan segera sembuh. 


Ada beberapa perkara yang nak dikongsi pada post berikutnya. Mungkin boleh dijadikan panduan pada sesiapa yang menghadapi situasi yang sama. Mungkin bukan sekarang, tetapi akan datang. Insyaallah nanti kita jumpa lagi. 

xoxo.

4 comments:

  1. moga bersabar dan terus berdoa.

    ReplyDelete
  2. aku doakan semuanya baik-baik sahaja. taiping is my father in law's hometown. membuatkan aku turut berdoa tak mau nampak apa-apa yang bukan-bukan di sana, walaupun mungkin tiada kaitan huhuhu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, Insyallah semuanya baik2 saja.

      Delete

Sila tinggalkan komen dengan penuh kasih sayang.
Terima Kasih. (^_^)